Google My BLOG

SEARCH RESULT

Pelaburan Melalui Wang KWSP - Bahagian I  

Saturday 5 January 2008

KWSP
Simpanan KWSP anda menghasilkan dividen yang diperolehi dari aktiviti pelaburan KWSP. Pelaburan KWSP adalah bersifat konservatif untuk melindungi simpanan ahli daripada pasaran yang tidak stabil. Bagaimanapun, KWSP membenarkan ahli yang layak untuk membuat pelaburan mereka sendiri menggunakan sebahagian daripada simpanan KWSP mereka untuk pulangan yang lebih tinggi. Risiko untuk pelaburan seumpama ini adalah lebih tinggi dan ahli mestilah menanggung risiko ini. Ketahui lebih banyak berkaitan skim pelaburan KWSP.


Panduan Pelaburan
Dalam membuat keputusan untuk memanafaatkan Pengeluaran Pelaburan KWSP, anda perlu tahu bahawa anda bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaburan anda dengan pengurus dana. KWSP tidak akan bertanggungjawab untuk menggantirugi sebarang kerugian daripada pelaburan yang dibuat.
Oleh yang demikian, anda perlu membuat keputusan dengan bijak terutamanya dalam memilih unit amanah yang mana untuk anda melabur. Jika anda tidak bersedia untuk mengambil risiko (berkemungkinan kerugian), adalah lebih baik untuk anda membiarkan sahaja wang anda di dalam KWSP.
Di bawah pengeluaran ini, anda tidak dibenarkan untuk memperoleh syer secara langsung daripada pasaran saham. Semua pelaburan mestilah dibuat melalui pengurus dana yang dilantik oleh Kementerian Kewangan. Anda boleh memilih dari mana-mana pengurus dana yang diluluskan. Senarai terbaru pengurus dana yang diluluskan boleh didapati dari mana-mana pejabat KWSP.
Apabila permohonan ahli telah diproses, KWSP akan memindahkan jumlah simpanan yang dilaburkan terus kepada pengurus dana yang bertanggungjawab dalam tempoh 14 hari selepas permohonan diterima oleh KWSP. Semua risiko pelaburan juga dipindahkan kepada anda secara automatik.
Pelaburan boleh dibuat setiap tiga bulan dari tarikh pemindahan akhir dibuat, tertakluk kepada adanya baki yang ditetapkan di dalam Akaun I (haruslah melebihi RM55,000). <-----Nilai Ini telah dipinda dan akan ditetapkan pada 1 Februari 2008.

Syarat-syarat Pengeluaran
Pengeluaran untuk pelaburan adalah dibenarkan kepada ahli yang mempunyai simpanan tidak kurang daripada RM55,000 (telah dipinda) di dalam Akaun I, dan belum mencapai umur 55 tahun. Untuk ahli yang layak, mereka boleh melaburkan sebahagian daripada simpanan ini di dalam unit amanah melalui pengurus dana luaran yang dilantik oleh Kementerian Kewangan.
Jumlah simpanan yang boleh dilaburkan mestilah tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak melebihi 20 peratus dari jumlah simpanan yang melebihi RM50,000 (telah dipinda) di dalam Akaun I.
Pelaburan secara terus adalah tidak dibenarkan. Anda juga tidak dibenarkan membuat pelaburan tambahan menggunakan wang anda sendiri.
Pengeluaran pelaburan boleh dibuat dalam jangka masa tiga bulan daripada tarikh pemindahan terakhir, tertakluk kepada adanya baki yang dikehendaki dalam Akaun I (lebih daripada RM55,000).

Bagaimana Untuk Membuat Pengeluaran?
Sebelum menyerahkan permohonan pengeluaran, anda perlu mendapatkan 'Penyata Caruman Yang Boleh Dilaburkan' daripada mana-mana pejabat KWSP. Untuk mendapatkannya, anda perlu menunjukkan Kad Pengenalan anda di kaunter. Permintaan melalui telefon atau e-mel tidak akan dilayan.
Permintaan anda hanya akan dilayan jika anda layak untuk membuat pengeluaran pelaburan pada masa tersebut. Anda kemudiannya perlu membuka satu akaun pelaburan dengan pengurus dana yang dipilih (melainkan anda sudah ada akaun dengan pengurus dana tersebut).
Dokumen yang diperlukan untuk serahan kepada pengurus dana adalah:
Borang KWSP 9F (AHL) yang telah lengkap diisi;
Penyata Caruman Yang Boleh Dilaburkan; dan
Kad Pengenalan ahli/Kad Pintar atau Kad Pengenalan Polis:
Untuk pemegang Kad Pengenalan Polis, sila kemukakan satu surat daripada Jabatan Polis untuk mengesahkan nombor Kad Pengenalan anda.
Untuk pemegang Kad Pintar, sila kemukakan satu salinan Kad Pintar dengan cap ibu jari kanan dan kiri anda di atas salinan tersebut.
Ruang 'amaun yang dipohon' patut diisi selepas ahli berbincang dengan pengurus dana tentang jumlah yang mahu laburkan dengan syarat amaun tidak melebihi jumlah maksimum yang dibenarkan. Pengurus dana akan mengemukakan Borang KWSP 9F (AHL) yang telah lengkap diisi kepada KWSP untuk diproses.
Adalah penting untuk anda mengisi borang yang betul dengan tepat dan memastikan bahawa semua dokumen sokongan mengikut turutan. Ini bagi mengelakkan kelewatan yang tidak perlu dalam memproses permohonan anda.
Sila ambil perhatian bahawa cap ibu jari diperlukan pada borang permohonan dan salinan MyKad. Anda mestilah menggunakan “thumbprint pad” yang khusus untuk cap ibu jari. Penggunaan bahan-bahan jenis lain seperti inkpad untuk getah setem (rubberstamp) tidak akan diterima oleh KWSP.

Sumber : Federation Of Malaysian Unit Trust Managers

AddThis Social Bookmark Button