Google My BLOG

SEARCH RESULT

CIMB Wealth yakin agih pelaburan RM19 bilion  

Saturday 5 January 2008

CIMB Wealth yakin agih pelaburan RM19 bilion

Oleh: AMRAN AHMAD
TAN Beng Wah (kiri) memerhatikan Tunku Ahmad Burhanuddin (tengah) dan Rex Auyeung memukul gong semasa pelancaran cawangan baru CIMB Wealth Advisors di Petaling Jaya, semalam.
PETALING JAYA 20 Julai – CIMB Wealth Advisors Bhd. (CIMB Wealth) yakin mampu melaksanakan pengagihan pelaburan bernilai RM19 bilion kepada sektor runcit dan institusi pelaburan kewangan tempatan menjelang akhir tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Wealth, Tan Beng Wah berkata, keyakinan itu berdasarkan peningkatan jumlah pelanggan runcit kepada 150,000 pelanggan berbanding 100,000 pelanggan pada awal tahun ini serta sambutan baik daripada banyak institusi pelaburan tempatan.
“Sambutan memberangsangkan ini ‘memaksa’ kami menambah bilangan ejen serta pakar perancang kewangan kepada 5,000 berbanding 4,000 pada masa ini,” jelasnya kepada pemberita selepas perasmian inisiatif baru ‘Pengalaman Cawangan Baru’ CIMB Wealth oleh Pengerusinya, Tunku Ahmad Burhanuddin, di ibu pejabat firma tersebut di sini, hari ini.
CIMB Wealth yang mengagihkan pelaburan bernilai lebih RM16 bilion setakat akhir bulan lalu adalah syarikat pengagihan pelaburan runcit terbesar milik CIMB Group Asset Management, yang menawarkan rangkaian dana unit amanah kepada para pelabur.
Buat masa ini, CIMB Wealth yang merupakan anak syarikat CIMB-Principal Asset Management Berhad beroperasi melalui 13 cawangan dan 18 pejabat jualan di seluruh negara.
Beng Wah berkata, pengagihan pelabuhan sebanyak RM19 bilion itu akan dibuat melalui lebih 80 dana pelaburan di dalam dan luar negara yang menjanjikan pulangan menarik dalam sektor-sektor berpotensi besar.
Pada masa yang sama, tambahnya, CIMB Wealth akan memperkenalkan lebih banyak produk yang bercirikan saham amanah serta insurans pada masa depan bagi memberi pilihan kepada pelanggan yang memiliki pelbagai kehendak dan matlamat pelaburan.
Mengenai keunikan perkhidmatan yang ditawarkan oleh CIMB Wealth berbanding banyak pakar dan perancang kewangan lain terutamanya secara dalam talian pada masa ini, Beng Wah berkata, pihaknya yakin pelabur yang bijak akan memilih untuk mendapatkan nasihat profesional dan melabur mengikut iklim semasa.
“Pelaburan yang mendapatkan pulangan yang baik selalunya mendapat ‘sentuhan kemanusiaan’ yang akan memberi petunjuk dan panduan dalam pilihan produk selain memberi nasihat masa yang tepat untuk menjamin keuntungan,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia, 21 Julai 2007
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2007&dt=0721&pub=utusan_malaysia&sec=korporat&pg=ko_01.htm&arc=hive

AddThis Social Bookmark Button